PETALING JAYA – Kegiatan ‘counter setting’ terus terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas pelbagai barang kemas bernilai kira-kira RM2.3 juta dipercayai dibeli menggunakan wang rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati wang rasuah yang diterima daripada kegiatan itu kebanyakannya digunakan untuk membeli kepingan emas dan barangan kemas lain termasuk rantai, gelang, cincin serta anting-anting emas.
“Jumlah keseluruhan barangan kemas yang dirampas bernilai kira-kira RM2.3 juta.
“Rampasan lain melibatkan tujuh kereta, beg pelbagai jenama, telefon bimbit, satu lot tanah dan lain-lain barangan,” katanya di sini hari ini.
Azam berkata, siasatan berhubung penahanan suami isteri yang juga pegawai imigresen baru-baru ini masih dijalankan.
Katanya, buat masa ini tiada maklumat sama ada pegawai penguat kuasa lain yang ditahan membeli barangan kemas daripada pasangan terbabit.
Terdahuu, Kosmo! semalam melaporkan siasatan SPRM mendedahkan bahawa pasangan berkenaan telah menggunakan nama adik wanita tersebut dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas itu dengan modal berjumlah kira-kira RM600,000.
Pasangan berusia lingkungan 40-an itu telah direman lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. – KOSMO! ONLINE