SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memantau kenyataan fitnah berhubung prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak terbabit sekiranya cuba mengganggu sepanjang proses inkues itu dijalankan.
“Sekiranya ada apa-apa kenyataan yang dibuat yang mungkin menyimpang daripada fakta ataupun menokok tambah ataupun cuba mengganggu proses, di pihak kerajaan kita menghormati proses itu dan ada tindakan-tindakan yang boleh diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir meninjau pelaksanaan Program Bantuan Sara di sebuah pasar raya mini di Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Fahmi berkata, baru-baru ini Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan berhubung seorang individu yang telah mengeluarkan fitnah berkaitan proses inkues kematian Zara.
“Individu tersebut telah diserahkan notis tunjuk sebab sebelum tindakan subjudis, dibawa ke mahkamah.
“Jika pihak Peguam Negara merasakan ada keperluan untuk individu itu dihadapkan ke mahkamah, dia boleh didakwa atas tuduhan menghina mahkamah. Itu satu perkara yang perlu dilakukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga mengambil maklum berkaitan permohonan ibu Zara supaya semua bentuk perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti dihentikan sementara sehingga prosiding inkues selesai.
Semalam, media melaporkan pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara, Noraidah Lamat memohon semua perhimpunan aman ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues kematian remaja berkenaan selesai sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE