KLANG – Cubaan seorang lelaki warga Pakistan menipu nombor pendaftaran kenderaan palsu terbongkar dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di Jalan Iskandar, Kapar di sini semalam.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ketika membawa muatan barangan kitar semula seperti tin dan besi untuk dijual di kedai besi buruk.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati lelaki itu bekerja dengan sebuah syarikat tempatan sejak lima tahun lalu.
Katanya, semasa ditahan didapati lelaki itu mempamerkan nombor pendaftaran lain milik sebuah kenderaan persendirian.
“Hasil pemeriksaan pada casis kenderaan mendapati ia berdaftar di bawah syarikat tempatnya bekerja.
“Alasan diberikan adalah lelaki itu disuruh majikannya yang juga warga Pakistan bagi membawa kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, sepanjang operasi yang bermula pukul 6 pagi hingga 5 petang itu telah memeriksa 75 kenderaan termasuk 40 kenderaan perdagangan.
Ujarnya, sebanyak 58 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dilakukan pengguna kenderaan.
“Ini termasuk melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), cukai jalan tamat tempoh, memandu dibawah umur, menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat.
“Kita juga telah menyita dua buah van termasuk dipandu warga Pakistan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE