KLANG – Aksi pergaduhan tercetus di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Batu Nilam, Bukit Tinggi di sini selepas sebuah kereta mengundur lalu melanggar kenderaan lain, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.13 tengah hari itu menyebabkan seorang lelaki berusia 39 tahun cedera ringan selepas bergelut dengan pemandu jenis Proton Gen 2.
Insiden berkenaan tular menerusi dua klip video berdurasi 22 saat dan lebih seminit di aplikasi X.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan KamalAriffin Aman Shah berkata, semasa kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Honda City berhenti di belakang Proton Gen 2 tersebut.
Katanya, bagaimanapun kereta Proton Gen 2 dikatakan telah mengundur ke belakang dan melanggar bumper hadapan kereta mangsa.
“Pemandu Proton Gen 2 kemudiannya keluar bersama seorang wanita sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Lelaki itu seterusnya telah bertindak merangkul leher mangsa dan berlaku pergelutan di antara mereka sebelum dileraikan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang cedera ringan di bahagian kaki, leher dan leher telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.
Tegasnya, pihaknya membuka kertas siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE