fbpx
Fadhlina (gambar) berucap pada majlis penutup Kongres Prauniversiti Madani di Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian, Nibong Tebal, hari ini.

Jangan bertelagah, tiada keperluan mansuh sistem matrikulasi – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) melihat tiada keperluan untuk memansuhkan matrikulasi susulan sistem itu dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memiliki keistimewaan tersendiri serta memenuhi merit bagi melanjutkan pengajian di universiti awam (UA).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua sistem berkenaan telah berada dalam sistem sistem pendidikan sejak sekian lama.

“Kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing dan memiliki merit untuk masuk ke universiti awam.

“Jadi saya fikir, dalam keadaan hari ini jangan kita bertelagah dalam isu-isu yang tidak mendatangkan apa-apa makna selain mengundang persepsi yang tidak baik kepada kedua-dua program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UM), Tang Yi Ze, menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke UA bagi jurusan ijazah.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya terus komited dalam menambah baik mutu pendidikan bagi memartabatkan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM menerusi cadangan yang diterima dari semasa ke semasa.

“Jadi dengan adanya komitmen di peringkat KPM yang telah pun menjenamakan semula Tingkatan Enam ini, kemudian kita tambah baik dalam konteks program-program dan juga memberikan mereka keupayaan dalam sudut kepimpinan dengan melaksanakan pilihan raya dan sebagainya, pastinya dapat memartabatkan pelajar ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI