PETALING JAYA – Tiada apa-apa boleh berlaku kepada Israel kerana pada asasnya Amerika Syarikat (AS) memberi restu pengeboman dilakukan rejim Zionis di Doha, Qatar.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dunia termasuk AS akan mengecam Israel, tetapi AS tetap menyokong sasaran terhadap Hamas.
“Netanyahu (Perdana Menteri Israel) beri amaran mana-mana negara melindungi pengganas Hamas perlu mengusir mereka, jika tidak Israel akan mengambil tindakan.
“Kini negara-negara Islam mungkin tanpa disedari menempatkan anggota Hamas atau pelarian yang dianggap Israel sebagai pengganas.
“Israel mungkin mengebom negara tersebut dengan alasan membunuh pengganas, maka negara-negara Arab menghadapi kemungkinan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Israel beberapa hari lalu melancarkan serangan ke atas Qatar menyasarkan kepimpinan Hamas yang menjadikan negara Teluk itu sebagai pangkalan politik mereka sejak sekian lama.
Hamas mengesahkan enam individu terbunuh dalam insiden tersebut termasuk seorang anggota pasukan keselamatan Qatar dan anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya.
Qatar sebelum ini berperanan sebagai tuan rumah rundingan gencatan senjata serta menjadi saluran bantuan kemanusiaan utama ke Gaza.
Tindakan Israel itu dikritik hebat di peringkat antarabangsa dan dilihat sebagai satu bentuk peluasan konflik yang boleh menjejaskan keselamatan Teluk.
Ia juga berisiko mencetuskan ketegangan dengan negara-negara Arab lain yang sebelum ini menjadi perantara dalam usaha damai Palestin-Israel. – KOSMO! ONLINE