KOTA KINABALU – Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat memohon semua perhimpunan aman ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues kematian remaja berkenaan selesai sepenuhnya.
Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam terdiri daripada Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James berkata ia selaras dengan hasrat ibu Zara.
“Kita berpuas hati dengan perjalanan prosiding inkues setakat ini yang telah bermula di Mahkamah Koroner dengan enam orang saksi.
“Kami menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara dan sumbangan dana bagi menampung kos-kos perlantikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang bagi anak guam kami iaitu ibu Zara dalam inkues ini.
“Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan. Kita juga sedia maklum bahawa beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan di perhimpunan atau komen di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dan ibu Zara Qairina tidak mahu slogan atau nama arwah dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE