BALIK PULAU – Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki tokoh yang layak dan diyakini rakyat untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, sekali gus menafikan dakwaan kononnya gabungan itu mampu menawarkan kepimpinan lebih baik kepada negara.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia terbukti apabila barisan pimpinan pembangkang hari ini gagal menampilkan seorang pun calon yang boleh menggalas amanah rakyat di peringkat nasional.
”Bahawa ke depan nanti, tidak akan ada kuasa pembangkang nak pilih siapa Perdana Menteri. Mereka boleh pilih siapa nak jadi Perdana Menteri sama ada Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man), Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Samsuri (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar), Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) atau Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri.
”Namun, sebenarnya mereka tidak punya satu calon dan satu gerombolan kepimpinan yang dipercayai rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah Pulau Pinang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, cabaran terbesar Amanah adalah berdepan politik sempit yang mendakwa hanya satu pihak membawa kebenaran Islam sedangkan pendekatan itu membawa musibah kepada perpaduan negara.
“Parti Amanah walaupun dilabel sebagai serpihan parti Pas suatu ketika dahulu telah membuktikan daya tahan apabila terus bangkit mengharungi cabaran sehingga kini genap 10 tahun penubuhannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE