BELADIN – Seorang peserta regata Karnival Beting Maro lemas selepas perahu yang dinaiki karam berhampiran tebing sungai Batang Saribas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Rejali Angong berkata, lelaki berusia 32 itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Beladin.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.50 petang ketika mangsa bersama rakan kayuhan lain dalam perjalanan balik ke pangkalan untuk berehat.
“Semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan, perahu KT500 Pantai Damai Beladin karam disebabkan arus deras. Akibatnya, mangsa tenggelam bersama perahu.
“Siasatan awal mendapati rakan sepasukan mangsa berusaha menyelamatkan lelaki itu tetapi tidak berjaya disebabkan arus sungai yang deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rejali berkata, mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri dibawa oleh rakan sepasukannya ke Klinik Beladin sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Betong untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE