fbpx
SEORANG wanita melewati deretan rumah yang sebahagiannya telah dirobohkan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Pastikan rumah di Kampung Sungai Baru milik Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL) mahu pemaju memastikan unit kediaman baharu di Kampung Sungai Baru hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu.

Pengerusi PMKL, Hussen Zulkarai berkata, cadangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu selaras hasrat memastikan penduduk asal, khususnya orang Melayu tidak terpinggir daripada pembangunan semula kawasan itu.

“Jika tempoh masa diperlukan untuk menunggu pemaju me­laksanakannya, ia tidak menjadi masalah kerana yang penting hak dan masa depan orang Melayu di kawasan ini terjamin.

“Apabila pemaju sudah mempunyai dokumen lengkap serta persetujuan sebahagian penduduk sebelum ini, tidak wajar pula kerajaan hari ini dipersalahkan. Apa yang perlu difokuskan ialah mencari jalan terbaik untuk memastikan penduduk mendapat manfaat daripada pemba­ngunan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ujarnya, Johari selaku wakil rakyat kini mengambil pendekatan tepat dengan berbincang semula bersama Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan bagi memastikan pelaksa­naan projek itu tidak menjejaskan kepentingan orang Melayu.

Semalam, Kosmo! melaporkan, operasi pengosongan ba­ngunan Kampung Sungai Baru, di sini, kecoh apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.

Sementara itu, Hussen mendakwa, kekecohan yang berlaku itu berpunca daripada campur tangan pihak luar yang sengaja hadir untuk melakukan provokasi.

“Tidak wajar apabila pihak luar datang mencetuskan provokasi di kawasan ini,” dakwanya.

Dalam pada itu, Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman berkata, mereka sama sekali tidak terlibat dalam insiden kekecohan kelmarin.

“Kami ingin jelaskan bahawa kejadian semalam tidak ada kaitan langsung dengan penduduk. Kami hanya berada di rumah masing-masing dan tidak ada sebarang provokasi atau propaganda daripada penduduk,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI