KUALA NERUS – Percutian sebuah keluarga dari Pulau Pinang ke Terengganu bertukar tragedi apabila seorang maut, manakala empat termasuk tiga ahli keluarga mereka pula cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Sungai Ikan, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 12.22 tengah malam itu, mangsa, Rohani Hashim, 62, yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Bertam Putra Utama, Kepala Batas meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, mangsa keluarga dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti ke Kuala Terengganu dari Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian dari arah Kelantan, sebuah kenderaan utiliti sukan, Perodua Aruz dinaiki mereka tiba-tiba dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna, Naza Citra.
“Kenderaan Naza Citra dinaiki sebuah keluarga lain yang dalam perjalanan ke Alor Lintah, Besut dari Kemaman itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, sebuah kenderaan lain jenis Proton Saga yang berada di belakang turut gagal mengelak lalu merempuh pula kenderaan Naza Citra.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan anak Rohani, Ain Syafawati, 39, yang memandu kenderaan Perodua Aruz mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan.
“Suami Rohani, Abdullah Hashim, 70, dan cucu perempuannya, Putri Nur Dini Syamimi Mohamad Nor Rafiqh, 12, serta pemandu kenderaan Naza Ria yang merupakan wanita berusia 29 tahun turut cedera,” katanya. – KOSMO! ONLINE