PASIR PUTEH – Penantian selama lima tahun dua nelayan miskin dari Kampung Pantai Perupok di sini untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila mereka terpilih menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).
Rumah tiga bilik tidur bernilai RM84,000 seunit yang lengkap dengan kemudahan asas itu sekali gus memberi rahmat besar buat kedua-dua keluarga itu apabila mereka sebelum ini terpaksa bertahan hidup dalam serba kekurangan.
Salah seorang penerima PKPN, Mohd. Zahari Mat, 37, berkata, dia yang mempunyai masalah rabun kronik perlu menanggung isteri, Siti Aishah Ismail, 35, dan tiga anak berusia dalam lingkungan tujuh bulan hingga tujuh tahun.
Menurutnya, dia sebelum ini sudah lapan tahun menyewa rumah papan usang dengan bayaran RM150 sebulan di kawasan kampung tersebut.
“Lima tahun saya menunggu rumah baharu ini. Sepanjang tempoh itu, kami sekeluarga tinggal dalam rumah yang berlubang-lubang.
“Alhamdulillah, saya sudah ada tempat lebih selesa untuk anak-anak membesar ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PKPN oleh Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Hamdan Mamat, di sini hari ini.
Seorang lagi penerima PKPN, Mohamed Awang, 65, turut menzahirkan rasa syukur kerana rumah lamanya sudah reput dimakan anai-anai akhirnya diganti dengan rumah baharu.
Sementara itu, Hamdan berkata, sebanyak 20,603 unit rumah nelayan di seluruh negara telah dibaik pulih dengan kos bernilai RM220.4 juta. – KOSMO! ONLINE