KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana dipercayai memuat naik video berunsur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu di aplikasi TikTok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ berhubung penularan video melalui akaun TikTok @muhammad.bin.abdu969.
“Semakan mendapati suspek berusia 41 tahun mempunyai satu rekod kesalahan narkotik dan tiga kes jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur hasutan, mengaibkan atau provokasi sehingga menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab menggunakan media sosial dan sentiasa menghormati undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE