SEBERANG PERAI – Kadar kes keracunan makanan di negara ini dilaporkan mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga 6 September lalu, sebanyak 12,821 kes keracunan makanan dicatatkan berbanding 18,034 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024.
“Walaupun kita masih belum sampai hujung tahun, kita berharap agar penurunan angka kes ini dapat dikekalkan.
“Selain itu, jumlah kes wabak keracunan makanan turut mencatatkan penurunan iaitu 12 wabak pada Minggu Epidemiologi ke-36 (ME36), iaitu bagi tempoh 31 Ogos hingga 6 September lalu berbanding 15 wabak pada minggu sebelumnya,” katanya selepas menyempurnakan acara Flag Off Apron Walk 2025 di Batu Kawan, di sini hari ini.
Beliau berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan daripada 10 orang jatuh sakit setiap tahun akibat penyakit bawaan makanan, manakala lebih 200 penyakit di dunia adalah disebabkan oleh makanan yang tercemar.
“Beban kos tahunan di seluruh dunia untuk rawatan penyakit bawaan makanan ini juga dianggarkan menjangkau RM60 bilion (AS$15 bilion),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penurunan kes yang dicatatkan itu membuktikan komitmen Kementerian Kesihatan dalam memperkasakan kawalan keselamatan makanan di negara ini melalui pelbagai strategi dan intervensi. – KOSMO! ONLINE