IPOH – Kerajaan sedia mempertimbang cadangan daripada pelbagai pihak berhubung penambahbaikan serta perluasan pembelian barangan melalui Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan mendengar pandangan rakyat demi memastikan pelaksanaan bantuan memberi manfaat secara menyeluruh.
“Saya beri jaminan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang mendengar. Seperti cadangan mengenai barangan yang perlu dikecualikan dalam senarai cukai jualan dan perkhidmatan (SST), di mana kerajaan buat penambahbaikan selepas semakan semula.
“Saya percaya dalam hal berkaitan perluasan kedai atau barangan yang jatuh dalam kategori yang boleh dibayar menggunakan bantuan SARA, ia juga akan diberi perhatian dan diteliti oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia 2025 anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini. Yang turut hadir, Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran program, Muhammad Kamil berkata, karnival anjuran Ikram itu berjaya menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, penganjuran karnival yang menampilkan penglibatan pertubuhan utama masyarakat Cina, India dan Orang Asli selain kerjasama agensi kerajaan serta swasta pelbagai latar belakang mengingatkan tentang kepelbagaian dalam masyarakat serta kepentingan mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan rakyat. – KOSMO! ONLINE