PELIK tetapi benar. Negeri yang kaya dengan seni budaya, yang melahirkan ramai seniman besar dalam muzik, teater, seni lukis dan filem, tetapi tidak punya sebuah pun pawagam untuk rakyatnya. Itulah Kelantan.
Ironinya, orang Kelantan tetap menonton filem, cuma bukan di tanah sendiri.
Mereka perlu ke Terengganu, Pahang atau Perak. Wang keluar, peluang hilang, rakyat rugi.
Pengarah filem, Sabri Yunus bersuara lantang dalam satu siri podcast, katanya, kalau alasan maksiat dijadikan benteng, maka itu bukan hujah yang adil.
Katanya, maksiat boleh berlaku di mana-mana, di lorong gelap, di pusat beli-belah, malah di telefon pintar dalam genggaman.
“Menyalahkan pawagam untuk segala permasalahan sosial itu kurang tepat, sebab maksiat bukan hanya berlaku di dalam pawagam.
“Semua tempat boleh berlaku, perjalanan dari Kelantan ke Terengganu untuk menonton wayang boleh makan masa tiga jam. Dekat situ kalau nak buat maksiat pun boleh.
“Boleh bermalam lagi kalau atas alasan letih, jadi kenapa juga pawagam yang disalahkan,” jelasnya.
Sabri turut melihat pawagam dari sudut lebih luas, sebagai sumber ekonomi.
Katanya, pawagam bukan sekadar tempat menonton, sebaliknya ia satu ekosistem.
“Orang beli tiket, makan di gerai berdekatan, anak muda dapat kerja, penggiat filem ada ruang untuk berkarya. Apa yang rugi jika pawagam wujud di Kelantan? Malah ia mengekalkan wang rakyat daripada mengalir keluar,” katanya.
Cuma, Kelantan ada cara fikirnya sendiri jika satu solusi iaitu duduk semeja. Biar penggiat seni berbincang dengan agamawan. Cari titik temu.
Kalau pasar raya boleh diwujudkan dengan garis panduan tertentu, kenapa pawagam tidak? Kalau hiburan lain boleh dikawal dengan lesen, kenapa pawagam jadi ‘hantu’ yang begitu menakutkan?
Lebih menyedihkan, filem tentang Kelantan; budaya, bahasa, loghat, kehidupan rakyat ditonton di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang, tetapi orang Kelantan sendiri tidak berpeluang menontonnya di negeri mereka.
Tidakkah itu paradoks budaya? Seni yang lahir dari bumi Kelantan menjadi asing di tanah kelahiran sendiri.
Sebenarnya rakyat Kelantan tidak pernah menolak seni. Mereka hanya dipaksa menonton dari jauh.
Akhirnya yang rugi bukan sahaja rakyat, tetapi negeri yang kehilangan potensi ekonomi.
Kini, soalnya bukan lagi “perlu atau tidak pawagam.” Soalnya, sampai bila kita mahu hidup dalam stigma lama.
Seni bukan musuh masyarakat. Pawagam hanyalah ruang. Baik atau buruknya tetap bergantung kepada tangan manusia.
Kalau alasan maksiat terus dijadikan tameng, maka tameng itulah yang sedang menyekat hak rakyat.
Sampai bila kerajaan negeri mahu berselindung di sebalik alasan itu? Takut kepada pawagam, atau sebenarnya takut kepada bayangan sendiri? -KOSMO! ONLINE