BEREGU campuran sensasi negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sedar status juara dunia yang baru dimenangi mereka akan menjadikan pasangan itu sasaran utama apabila turun beraksi pada China Masters 2025 minggu depan.
Kejohanan bertaraf Super 750 itu bakal berlangsung dari 16 hingga 21 September di Shenzhen Arena menyaksikan hampir semua pasangan terbaik dunia akan berentap, sekali gus menguji konsistensi gandingan itu selepas mencipta sejarah di Paris bulan lalu.
Tang Jie mengakui mereka kini perlu lebih berhati-hati kerana lawan pasti mahu menumbangkan juara dunia, namun menegaskan fokus utama tetap pada permainan sendiri dan mengekalkan konsistensi.
“Kami tidak boleh kawal apa yang orang lain fikir tentang kami. Apa yang penting, kami tidak mahu terlalu fikir kami juara dunia kerana itu hanya akan menambah tekanan.
“Kami hanya perlu fokus, kekal merendah diri dan terus bekerja keras,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Tambahnya, kunci utama adalah mengekalkan rentak seperti di final Kejohanan Dunia lalu dengan memberi tumpuan kepada taktikal yang dirangka jurulatih.
“Dalam final sebelum ini, kami hampir 100 peratus ikut perancangan jurulatih dan itu buatkan kami berjaya. Harapan saya, kami boleh konsisten dan kekalkan tahap permainan sebegitu,” ujarnya.
“Kami tidak tiba-tiba jadi juara dunia. Semua itu datang daripada latihan, pengalaman dan setiap kejohanan yang kami sertai sebelum ini. Selepas ini, pasti akan ada kalah dan menang tapi kami kena terus belajar dan berjuang untuk negara,” katanya.
Pasangan ranking keempat dunia itu kini dalam prestasi terbaik dan bakal menjadi tumpuan utama di Shenzhen, namun Tang Jie menegaskan perjalanan mereka baru bermula dan China Masters hanyalah satu lagi medan pertarungan baharu.
“Yang penting, kami nikmati permainan dan gunakan peluang ini untuk terus tingkatkan prestasi. Kejohanan minggu depan ibarat pertempuran baharu dan kami mahu masuk dengan semangat juang yang sama seperti di Paris,” tambah Tang Jie. – KOSMO! ONLINE