LONDON – Tonggak pertahanan Arsenal, Ben White optimis Viktor Gyokeres bakal kembali meledak pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Nottingham Forest di Stadium Emirates hari ini.
Sebagai rekod, Gyokeres telah berhijrah ke Arsenal dengan reputasi hebat selepas 97 gol daripada 102 perlawanan bersama kelab terdahulu, Sporting Lisbon.
Namun, prestasi penyerang antarabangsa Sweden itu dikritik hebat pada aksi terakhir EPL bertemu Liverpool apabila gagal melakukan sebarang impak sehingga menyaksikan pasukan tewas 0-1 bulan lalu.
Namun, White yang pernah menjadi rakan sepaukan Gyokeres ketika mewakili Brighton sebelum ini percaya pemain berusia 27 tahun itu mempunyai potensi untuk menjadi penyerang terbaik musim ini.
“Saya telah mengenali Gyokeres cukup lama kerana kita bersama mewakili pasukan remaja Brighton selama empat tahun dan saya sudah lihat dia memang ada bakat yang istimewa.
“Secara peribadi, saya tidak terkejut kami kini berada di kelab yang sama (Arsenal) dan percaya dia dapat lakukan yang terbaik buat pasukan pada saingan kali ini.
“Dia memiliki rekod jaringan yang baik sepanjang karier dan menjadi igauan ngeri buat mana-mana pemain pertahanan.
“Pengalamannya mewakili pasukan Brighton dan Coventry memudahkannya untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di England,” katanya. – AGENSI