LONDON – Bintang tengah Sepanyol, Martin Zubimendi meledak dua gol untuk melengkapkan kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Nottingham Forest di Stadium Emirates, sebentar tadi.
Keputusan itu juga meranapkan impian Ange Postecoglou untuk mendapatkan debut sempurna selaku pengurus baharu Nottingham Forest.
Kekalahan itu juga menyaksikan mantan pengurus Tottenham Hotspur itu terus kemarau kemenangan ke atas rakan sejawatnya di Arsenal, Mikel Arteta selepas alami tiga kekalahan dan sekali seri dalam empat perlawanan terakhir.
Terdahulu, kecederaan Bukayo Saka menyaksikan Noni Madueke terus mendapat kepercayaan untuk memulakan perlawanan di sayap kanan dan kelibatnya sentiasa menghadirkan masalah kepada benteng pertahanan lawan.
Usaha diatur The Gunners akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-32 apabila Zubimendi membuka akaun jaringannya bersama Arsenal menerusi satu sepakan voli menarik.
Hanya seminit selepas babak kedua bersambung, Arsenal makin selesa dan kali ini giliran seorang lagi pemain baharu, Eberechi Eze cetus impak apabila melakukan umpanan yang disudahkan oleh Viktor Gyokeres.
Ketika Nottingham Forest cuba mengatur tekanan untuk mendapatkan gol semangat, minit ke-79 Zubimendi sekali lagi cemerlang untuk menanduk masuk hantaran lintang Leandro Trossard. – KOSMO! ONLINE