BINTULU – Seorang pekerja bengkel maut, manakala dua lagi parah selepas terkena serpihan enjin bot yang meletup dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Tatau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika pemilik bengkel bersama tiga pekerjanya sedang membaiki dan menguji enjin bot bagi persediaan perlumbaan Bot Laju Pesta Tatau 2025 yang berlangsung hari ini.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan enjin bot itu meletup secara tiba-tiba ketika diuji dan serpihannya terkena tiga pekerja yang berada berhampiran.
“Mangsa berusia 23 tahun disahkan maut selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau, manakala dua lagi berusia 41 dan 28 tahun cedera parah. Mereka dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pemilik bengkel berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jame berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca letupan. – KOSMO! ONLINE