LARUT – Polis Selama memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 8 September lalu di kawasan Rantau Panjang, di sini.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, mangsa, Sa’erah Mat Asin, 60, beralamat di Kampung Ulu Damak, Sungai Bayor, Rantau Panjang, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dilihat kali terakhir di sebuah kedai makan di Kuala Nor.
“Wanita itu kali terakhir dilihat pada jam 5.45 petang, 8 September lalu di kedai makan Pak Joe Chicken Chop, Kuala Nor, Rantau Panjang, Selama.
“Mangsa berbangsa Melayu, mempunyai ketinggian 158 sentimeter, berkulit hitam manis, berambut paras bahu berwarna hitam keperangan. Pakaian terakhir yang dipakai ialah baju-T berwarna gelap, berseluar panjang serta bertudung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Sa’erah diminta menghubungi Sub Inspektor Mohd Fazli di talian 013-4281129 atau menghubungi balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE