JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap segelintir pihak yang mengkritik beliau kerana terlalu kerap ‘berjalan’ ke luar negara sejak memegang tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan, tiga tahun lalu.
Sebaliknya, Anwar menegaskan, tindakan itu dibuat atas sebab tuntutan kerja selain memenuhi jemputan yang dibuat kepimpinan negara-negara antarabangsa.
“Orang kritik kata saya banyak ‘berjalan’, ingat saya pergi senang-lenang ke? Ingat saya pergi bercuti ‘happy’ (seronok) ke? Saya pergi disebabkan kerja. Sebagai Perdana Menteri saya banyak ‘berjalan’ kerana dijemput disebabkan kita ada suara, kita (Malaysia) negara yang bebas dan merdeka. Apa guna merdeka jika tidak berani bercakap.
“Saya terima pesanan daripada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani. Esok saya akan ke Doha bagi membincangkan serangan berterusan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.
Anwar berharap rakyat negara ini memahami pendirian kerajaan Persekutuan, berterusan menyampaikan sumbangan kepada negara-negara antarabangsa yang berdepan bencana dan krisis kemanusiaan.
“Saya tak faham apabila orang cakap Anwar asyik bantu Gaza. Kita ini manusia, ada masa kemungkinan kita pula yang perlukan bantuan antarabangsa. Pakistan dilanda banjir, Myanmar (berlaku) gempa bumi, walaupun kita tak setuju politik di sana, tetapi kita bantu kerana ada orang mati, ada orang sakit.
“Rakyat susah juga kita kena ambil tahu, sekarang kerajaan banyak beri bantuan kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, angka sebenarnya jauh lebih tinggi peruntukan kita bagi berbanding semasa dia (pembangkang) perintah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan kepentingan untuk rakyat Malaysia berbilang kaum mempelajari dan menguasai penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan kebangsaan di negara ini. – KOSMO! ONLINE














