KOTA KINABALU – Saksi keenam inkues kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan, arwah selepas ditemui dilihat dalam keadaan sukar untuk bernafas.
Pengawal keselamatan asrama, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata, ketika itu beberapa guru juga cuba menyedarkan Zara dengan memegang pipinya dan memanggilnya, namun tiada respon.
“Zara masih dalam keadaan menarik nafas dengan sukar (nazak) dan kami menunggu hampir sejam kerana ambulans tiba lewat sekitar pukul 4 pagi,” katanya.
Beliau memaklumkan, ketika tubuh mangsa dipindahkan, terdapat pendarahan ketara pada bahagian kaki kiri yang didapati patah sehingga tulang terkeluar, selain kesan darah di tengkuk.
“Bahagian parit tempat dia ditemukan tidak ada darah tetapi selepas diangkat ada kesan darah yang banyak terutama pada bahagian kaki.
“Selepas ambulans beredar membawa Zara ke hospital, suasana sekolah menjadi kecoh pada waktu siang.
“Sebahagian besar pelajar terutama Tingkatan Satu mahu pulang kerana ketakutan tetapi saya hanya menasihatkan mereka agar tudur di bilik sakit dan saya menjaga serta menenangkan mereka di sana,” katanya.
Beliau berkata, ada ibu pelajar yang cuba untuk mengambil anaknya yang juga pelajar Tingkatan Satu bagaimanapun tidak dibenarkan oleh warden bertugas berikutan tidak mendapat kebenaran pengetua yang ketika itu berada di kediaman ibu Zara di Sipitang. – KOSMO! ONLINE