TAIPEI – Seorang wanita Thailand membuang 10 ekor hamster ke dalam mangkuk tandas dan memuat naik video tindakan kejam itu di media sosial, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Dia berbuat demikian selepas berpisah dengan teman lelakinya di Taiwan.
Wanita asal Thailand berusia 27 tahun yang hanya dikenali sebagai Sunny itu berdepan prosiding mahkamah Taiwan susulan videonya yang tular di laman Instagram memaparkan perbuatan kejam terhadap haiwan tersebut.
Video mengejutkan itu dikongsi pada 27 Ogos lalu, tidak lama selepas teman lelakinya, Xiang, 24, menamatkan hubungan mereka.
Sunny ditahan di Bandar Nantou sementara menunggu prosiding undang-undang selanjutnya dan proses pengusiran yang dijangka mengambil masa antara 15 hingga 30 hari.
Semasa wanita itu ditangkap, Xiang turut melaporkan perbuatan kejam Sunny terhadap 10 ekor hamster peliharaan mereka.
Dia menjelaskan bahawa Sunny membuang setiap ekor hamster ke dalam tandas satu persatu dan memuat naik video tersebut dalam akaun Instagramnya. – AGENSI