KUALA LUMPUR – Langkah perjuangan pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao di Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas dalam aksi mendebarkan kepada pemain No. 4 dunia dari China, Li Shi Feng, hari ini
Dalam perlawanan yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pemian negara itu mempamerkan semangat juang tinggi dan hampir mencipta kejutan besar apabila memaksa lawannya bekerja keras hingga ke penghujung perlawanan.
Selepas tewas tipis 20-22 pada set pertama, pemain negara itu mula mengatur aksi lebih agresif sebelum bangkit dengan cemerlang untuk memenangi set kedua 21-14, sekali gus mengheret perlawanan ke rubber set.
Pada aksi penentuan, kedua-dua pemain tampil dengan aksi berbalas serangan, namun dua kesilapan Jun Hao pada mata-mata terakhir membuka ruang kepada Shi Feng untuk mengesahkan kemenangan 22-20, sekali gus menamatkan perlawanan yang berlangsung selama 78 minit.
Kemenangan itu membolehkan Shi Feng, yang merupakan pilihan kedua kejohanan itu terus melebarkan rekod dominannya ke atas Jun Hao menerusi enam kemenangan daripada tujuh pertemuan mereka sebelum ini.
Hasil keputusan itu, Shi Feng akan membuat perhitungan dengan bintang Perancis, Christo Popov bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.
Sementara itu, dalam acara beregu campuran, gandingan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut terkandas di suku akhir selepas terpaksa tunduk straight set 16-21, 10-21 kepada beregu No. 2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, hanya dalam tempoh 33 minit.
Kekalahan tersebut juga merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Pang Ron-Su Yin kepada pasangan China itu. -KOSMO! ONLINE