SEREMBAN – Teman wanita kepada bapa dua kanak-kanak yang mati lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke muara Sungai Linggi, Tanjung Agas di Port Dickson baru-baru ini, telah dibebaskan dengan bon jaminan dan akan menjadi saksi pendakwaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan kes dianggap selesai dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.
“Polis telah mendapat arahan untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen hari ini, manakala suspek wanita dibenarkan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.- KOSMO! ONLINE