fbpx
Kor Ming ketika melawat reruai di IEM: Urban Engineering Symposium 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

RUU PSB penting demi keselamatan rakyat – Nga Kor Ming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegaskan kepentingan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) bagi memastikan bangunan lama di negara ini lebih selamat dan moden mengikut piawaian semasa.

Katanya, banyak bangunan lama dibina sebelum wujud garis panduan kejuruteraan moden dan tidak direka untuk menahan ancaman gegaran gempa bumi.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat, Johor yang merupakan kejadian pertama dalam lebih 100 tahun di negeri itu. Ia satu peringatan jelas bahawa Malaysia bukan lagi zon sifar risiko gempa.

“Sebab itu RUU PSB amat penting bagi memodenkan bangunan lama supaya mematuhi standard keselamatan hari ini. Keselamatan awam tidak boleh dikompromi walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya ketika merasmikan Urban Engineering Symposium 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Kor Ming berkata, para jurutera tidak boleh tunduk kepada tekanan klien untuk memotong kos sehingga menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Kalau ada pihak minta jurutera kompromi keselamatan, jawab sahaja ‘jangan menyibuk’. Itu prinsip asas. Sama juga dengan bidang undang-undang, kita tahu keselamatan awam adalah nombor satu,” katanya.

Menurutnya, melalui RUU PSB, kerajaan mahu melanjutkan jangka hayat bangunan lama di samping membentuk komuniti yang lebih bersih, selamat dan berdaya huni untuk rakyat.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan peranan Malaysia selaku Presiden UN Habitat yang kini mencadangkan agenda urban baharu dimasukkan dalam rundingan COP-30 serta kerangka UNFCCC agar suara negara membangun turut bergema di peringkat global. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN