SERDANG – Kejohanan Ladies’ Golf Tournament (The Ladies’) 2025 bakal menampilkan 60 peserta terdiri daripada pemain professional dan amatur yang menjadi pemangkin kepada misi menjadikannya sebagai acara terkemuka dunia.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 Oktober ini di The Mines Resort & Golf Club di sini menawarkan hadiah RM100,000 dalam saingan 54 lubang melibatkan pemain tempatan.
Pengasasnya, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, The Ladies’ membawa visi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara golf wanita terkemuka di dunia.
“Kami mahu martabat golf wanita di Malaysia dan serantau. Malaysia sebelum ini pernah menjadi negara pertama yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$1 juta (RM4.2 juta) pada 2000.
“Jika di Barat ada Masters dan kami harap di Timur nanti ada The Ladies,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Kim Yew, adalah penting mewujudkan lebih banyak peluang kepada pemain tempatan melalui kejohanan sedemikian.
Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Malaysia (PGM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, kejohanan itu akan menyediakan platform penting kepada profesional tempatan khususnya pemain golf wanita.
“Acara ini diadakan untuk memberi mereka peluang khusus terutamanya untuk menyokong kerjaya pemain golf wanita di Malaysia.
“Kami juga menjemput 30 pemain amatur terkemuka untuk menimba pengalaman berharga bersaing dengan pemain profesional,” katanya juga Pengerusi Eksekutif kelab itu.