fbpx
Sidang akhbar PMKL hari ini.

PMKL dakwa campur tangan pihak luar cetus kekecohan di Kampung Sungai Baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL) mendakwa kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru berpunca daripada campur tangan pihak luar yang didakwa sengaja hadir untuk melakukan provokasi.

Pengerusinya, Hussen Zulkarai berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan sebahagian besar pemilik sudah pun menerima pampasan daripada pemaju dan bersetuju untuk berpindah.

“Agak tidak masuk akal apabila pemilik telah menerima pampasan tetapi masih enggan berpindah. Malah lebih tidak wajar apabila pihak luar datang mencetuskan provokasi di kawasan ini.

“Sepatutnya ia tidak perlu dicampuri mana-mana pihak luar. Malah, insiden semalam yang mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera di kepala jelas menunjukkan provokasi itu boleh mengundang bahaya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, pemaju memiliki dokumen lengkap termasuk kelulusan daripada pejabat tanah serta persetujuan bertulis penduduk berhubung pelaksanaan projek pembangunan semula kawasan berkenaan.

“Apabila pemaju sudah mempunyai dokumen lengkap, mereka berhak untuk melaksanakan tindakan mengikut undang-undang.

“Malangnya, provokasi yang dilakukan pihak luar ini menimbulkan suasana tidak terkawal dan seolah-olah sengaja diatur,” katanya.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, selain pampasan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi sesetengah pemilik rumah.

Semalam, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan objek oleh individu tidak dikenali ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN