TEMPOH 90 minit pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala FA bertemu Bunga Raya FC di Stadium Likas, malam esok menjadi pentas terbaik buat Sabah FC membina skuad lebih rapuh sebelum hadapi cabaran lebih sukar selepas ini.
Rentetan kemenangan selesa 6-0 ada perlawanan pertama, The Rhinos seakan memiliki aksi latihan untuk perkukuhkan skuad memandangkan musim ini mereka dibarisi ramai muka baharu.
Pengendali The Rhinos. Jean-Paul De Marigny, sendiri akui pemainnya kini sedang berada dalam fasa peralihan untuk membentuk persefahaman lebih baik namun percaya pasukannya memiliki kualiti untuk menghadirkan kemenangan.
“Saya fikir sinergi pasukan akan bertambah baik dari minggu ke minggu. Objektif utama kami adalah untuk bermain dengan cara sendiri, tampil lebih berani ketika mengawal permainan dan beraksi dengan tersusun semasa tanpa bola.
“Saya rasa pasukan kami menunjukkan peningkatan dalam aspek ini dan apabila pemain sudah dapay sinergi, saya fikir kami mampu jadi lebih baik,” katanya.
Berbeza dengan Bunga Raya FC, wakil Liga A1 Semi-Pro itu melihat perlawanan perlawanan dengan Sabah FC adalah peluang keemasan buat pemain raih pengalaman berharga.
Pengendalinya, Zurin Adra Azhar ketika tamat aksi pertama sebelum ini mengakui tiada harapan besar untuk mencipta kejutan kerana sedar jurang kualiti dimiliki kedua-dua pasukan. – KOSMO! ONLINE