KOTA TINGGI – Perbuatan keji seorang penolong pengurus mengambil kesempatan ke atas remaja lelaki tingkatan empat bagi melempiaskan nafsu songsangnya terbalas apabila dia dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Zulhilmi Zailani, 40, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Mahkamah menetapkan hukuman itu dilaksanakan dari tarikh ditangkap selain tertuduh perlu jalani kaunseling atau pemulihan dan selepas tempoh tahanan dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, pada 6 September lalu lebih kurang pukul 2 pagi, bertempat di tepi jalan hadapan BHP Bukit Besar telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas remaja berumur 16 tahun yang juga jirannya.
Oleh itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak dimana jika disabitkan hukuman penjara selama maksimum 20 tahun dan boleh juga di hukum dengan hukuman sebat.
Tertuduh juga boleh dikenakan tambahan perintah kaunseling, pampasan kepada mangsa juga diletakkan di bawah pengawasan polis.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE














