KLANG – Seorang lelaki yang ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di Jalan Kempas Kiri, Kampung Perepat, Kapar di sini semalam dipercayai mati akibat dicekik.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkara tersebut diketahui hasil bedah siasat dilakukan terhadap mangsa warga tempatan berusia 33 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Katanya, siasatan mendapati mangsa merupakan seorang peniaga di Shah Alam.
“Bedah siasat mendapati sebab kematian adalah akibat dicekik. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Justeru katanya, usaha mengenal pasti suspek yang terlibat masih giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Setakat ini polis telah merakam keterangan daripada lima individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Chua Chong Kheow di talian 019-4217868 atau Ibu Pejabat Daerah ini menerusi talian 03-3291 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang lelaki disyaki dibunuh dengan beberapa kesan kecederaan dan laporan penemuan mayat dalam keadaan terbaring itu diterima daripada orang awam, kira-kira pukul 3.30 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE















