PETALING JAYA – Pelancaran X-FAB Sarawak 40K Fab Expansion di Samajaya High-Tech Park membuktikan keyakinan dunia terhadap Malaysia, khususnya Sarawak dalam industri berteknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen pelaburan berjumlah RM3 bilion itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah mengangkat Sarawak sebagai peneraju baharu dalam industri semikonduktor dan teknologi ‘front-end fabrication’ di rantau ini.
“Selain muncul sebagai hab tenaga hijau, Sarawak kini menonjol sebagai hab semikonduktor ASEAN,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, kerajaan terus memperkukuh kerjasama rapat antara industri dan universiti bagi melahirkan tenaga kerja berdisiplin, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Dengan kestabilan politik, dasar yang jelas serta sokongan padu Kerajaan Persekutuan, Anwar optimis Sarawak akan menjadi contoh unggul bagi negara sedang membangun dan turut menjadi sebahagian daripada penentu arah masa depan ekonomi global.- KOSMO! ONLINE.