PETALING JAYA – Pas menafikan parti itu berdiam diri terhadap insiden anggota polis dicederakan semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru di sini semalam.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak media bukan milik Pas turut memetik kenyataan Pas merakam simpati kepada anggota polis berkenaan.
“Setiausaha Politik Menteri Kewangan (merangkap Perdana Menteri) kata Pas berdiam diri dalam isu anggota polis dicederakan.
“Pejabat Perdana Menteri perlu kakitangan yang lebih rajin membuat analisa sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mempersoal tindakan pemimpin Pas berdiam diri tatkala anggota keselamatan dicederakan dalam insiden kekecohan di Kampung Sungai Baru semalam.
Beliau dipetik berkata, Ahmad Fadhli yang membuat kenyataan berhubung isu pengosongan rumah teres di kampung itu langsung tidak menyentuh dan mengecam individu mendatangkan kecederaan kepada pegawai polis terlibat. – KOSMO! ONLINE