fbpx
GAMBAR fail TikTok pada telefon bimbit. - Foto AFP

Parlimen cadang haramkan TikTok untuk remaja bawah umur 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS – Kanak-kanak Perancis di  bawah umur 15 tahun perlu diharamkan daripada menggunakan media sosial, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang memetik cadangan sebuah suruhanjaya parlimen.

Parlimen Perancis itu juga mencadangkan perlu ada perintah berkurung digital pada waktu malam bagi remaja berusia 15 hingga 18 tahun

Kajian selama enam bulan mengenai kesan psikologi TikTok terhadap golongan bawah umur mendapati platform perkongsian video pendek itu mendedahkan kanak-kanak  dan remaja kepada kandungan berbahaya, toksik serta ketagihan.

“Kita mesti memaksa TikTok untuk memikirkan semula modelnya,” kata suruhanjaya itu selepas  mendengar keterangan daripada remaja dan keluarga mangsa berhubung kesan buruk media sosial.

TikTok membalas dengan menyatakan, pihaknya menolak gambaran salah terhadap platform itu yang menurutnya, cuba menjadikan TikTok sebagai kambing hitam atas masalah industri dan masyarakat secara keseluruhan.

“TikTok mempunyai program keselamatan dan kepercayaan kukuh dengan lebih 70 ciri dan tetapan khusus bagi menyokong keselamatan termasuk kesejahteraan remaja serta keluarga di platform kami,” kata seorang jurucakap TikTok dalam satu kenyataan.

Namun, langkah-langkah syarikat itu gagal meyakinkan suruhanjaya rentas parti Parlimen Perancis yang menyifatkan TikTok sebagai salah satu platform media sosial paling buruk.

Ia menganggap media sosial itu sebagai sebuah kilang penghasil penderitaan bagi golongan muda. 

Mereka berpendapat TikTok gagal mengambil tindakan mencukupi untuk mengurangkan pendedahan remaja kepada kitaran kandungan berbahaya.

Cadangan penyiasatan Parlimen Perancis itu  hadir selepas Australia melaksanakan larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur 16 tahun yang akan berkuat kuasa pada 10 Disember 2025. 

Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Snapchat dan YouTube bakal berdepan denda besar jika gagal mengambil langkah munasabah untuk menghalang remaja bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun di negara tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN