PETALING JAYA – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan cepat berpuas hati menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-15 ke atas rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing di suku akhir hari ini.
Naib juara dunia di ranking ketiga dunia itu perlu bersiap sedia kerana gandingan No. 4 dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menanti mereka pada aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong esok.
Thinaah mengakui mereka perlu memperkemaskan permainan, khususnya dalam mengurangkan kesilapan mudah yang ketara pada set kedua.
“Masih ada perkara yang perlu kami perbaiki, terutamanya kesilapan-kesilapan mudah semasa set kedua.
“Syukurlah kami sempat berbincang dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Jadi, untuk perlawanan esok (hari ini), kami akan kekal waspada dan bersedia dengan lebih baik,” kata Thinaah katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah yang juga juara bertahan Terbuka Hong Kong pernah tewas kepada gandingan China itu empat kali berturut-turut musim ini.
Dalam pada itu, Pearly melihat keadaan gelanggang di Hong Kong kali ini memberi kelebihan buat mereka kerana sudah terbiasa dengan corak angin yang tidak begitu mengganggu.
“Tiupan angin kurang berbanding dua tahun kebelakangan ini dan setiap gelanggang ada keadaannya tersendiri, jadi kami hanya perlu bersedia dari pihak kami,” kata Pearly.
Untuk rekod, edisi lalu menyaksikan Pearly-Thinaah merangkul gelaran selepas menumpaskan pasangan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-14 dalam tempoh 37 minit. – KOSMO! ONLINE