JANGAN sampai pisang berbuah ‘tiga kali’.
Itulah peringatan yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan tindakan sewajarnya kepada skuad bawah 23 (B-23) negara yang gagal mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang diharapkan pada tahun ini.
Pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, FAM kena bertindak tegas dengan mencari jurulatih interim bagi menggantikan posisi ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang belum cukup matang di pentas antarabangsa.
Menurut Zulakbal, kegagalan Nafuzi pada dua kejohanan antarabangsa saingan Piala ASEAN B-23 2025 dan kelayakan Piala Asia B-23 2026 sepatutnya sudah cukup untuk badan induk bola sepak negara melakukan keputusan drastik.
Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, langkah pertukaran barisan kejurulatihan adalah jalan terbaik sekiranya mahu kembali menebus maruah terutama temasya Sukan SEA 2025 pada Disember depan.
“Kegagalan skuad B-23 ini sudah dijangka selepas menyaksikan prestasi mereka di Indonesia (Piala ASEAN B-23) dan keputusan pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 baru-baru ini mengukuhkan lagi pandangan tersebut.
“Secara peribadi, saya rasa jalan terbaik adalah cuba untuk ketepikan Nafuzi kerana dia belum capai tahap revolusi yang cuba digerakkan oleh projek pengurusan Harimau Malaya ketika ini.
“Dia (Nafuzi) belum diuji sepenuhnya sebelum ini (ketika membimbing Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC) tetapi sudah diberi tanggungjawab besar walaupun tanpa pengalaman yang cukup.
“Harap FAM dapat berbincang dengan barisan pengarah teknikal untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Bagi saya, kita perlukan jurulatih interim untuk membimbing pasukan pada Sukan SEA nanti untuk elak terus dikecewakan. Kemudian, tahun depan baru kita struktur semula skuad B-23 supaya setara dengan pasukan senior kebangsaan,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, Nafuzi telah membimbing skuad B-23 pada tahun ini bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh pengendali Sepanyol, Juan Torres Garrido dengan pasukan diserapkan dalam projek revolusi Harimau Malaya.
Namun, skuad B-23 telah dikritik hebat apabila terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang berlangsung di Indonesia pada Julai lepas.
Kemudian, impian skuad B-23 untuk bersaing di pentas Piala Asia B-23 buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas berada di kedudukan ketiga peringkat kelayakan Kumpulan F.