BACHOK – Seorang lelaki yang memakai kostum kartun ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di kawasan taman permainan di Pantai Irama, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, suspek berusia 36 tahun dipercayai melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 6.20 petang.
Menurutnya, suspek yang berpakaian kostum kartun dilaporkan melakukan amang seksual fizikal semasa mangsa berada di kawasan taman permainan di pantai tersebut.
“Kejadian tersebut turut dirakam oleh seorang orang awam yang berada di kawasan tersebut.
“Mangsa didapati tidak mengalami kecederaan fizikal selepas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Azrie memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Menurutnya, lelaki itu ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE