LARUT – Polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd. Fazdil, 27, dipercayai ketua sindiket pecah masuk pasar raya yang melarikan peti besi berisi wang tunai RM14,000 di Batu Kurau, Perak, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, semakan rekod mendapati suspek beralamat di Kampung Aman, Pokok Sena, Pulau Pinang itu mempunyai 34 rekod lampau melibatkan 24 kes jenayah dan 10 kes narkotik, selain turut dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kejadian berlaku pada 27 Ogos lalu, kira-kira pukul 11.05 pagi, apabila pasaraya Serai Mutiara di Taman Kurau Permai, Batu Kurau dipecah masuk melalui pintu gelongsor belakang sebelum suspek melarikan peti besi yang mengandungi wang tunai.
“Hasil risikan dan semakan rakaman CCTV, polis berjaya mengenal pasti suspek terlibat serta kenderaan yang digunakan.
“Serbuan pertama dilakukan pada 28 Ogos di Alor Setar yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki suspek pertama dan siasatan lanjut kemudian membawa kepada tangkapan suspek kedua pada 5 September di Kampung Aman, Pulau Pinang,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama disini hari ini.
Katanya, hasil maklumat daripada suspek yang ditangkap, polis menemui semula peti besi berkenaan yang dibuang ke Sungai Lokan, Butterworth dan kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Taiping di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE