fbpx
Dr. Zaliha bercakap ketika sidang media khas berhubung isu Kampung Sungai Baru di Menara Seri Wilayah di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

Kerajaan jamin hartanah Kampung Sungai Baru mampu dimiliki orang Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan pembangunan semula di Kampung Sungai Baru kelak mengekalkan pemilikan orang Melayu dengan hartanah mampu dimiliki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketetapan itu juga telah dijelaskan berulang kali sebelum ini termasuk di Dewan Rakyat dengan mengambil kira garis panduan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Menurut beliau, berdasarkan garis panduan tersebut ia sudah cukup jelas dalam memastikan pemilikan adalah berpaksikan kepada kepentingan kaum Melayu mengikut kategori dan bentuk pembangunan yang dijalankan.

“Berdasarkan garis panduan itu, jika tanah itu adalah tanah rizab Melayu, jadi memang tiada kompromi, 100 peratus kena orang Melayu (miliki).

“Tetapi jika tanah projek itu adalah projek dilaksanakan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) misalnya secara ‘joint-venture’, maka 70 peratus pemilikannya harus orang Melayu dan sekiranya projek swasta, syaratnya adalah 40 peratus harus ada pemilikan orang Melayu.

“Baik di pihak saya mahu pun Jabatan Wilayan Persekutuan (JWP), kita memastikan supaya pemilikan itu mampu milik atau pun boleh dimiliki oleh bangsa Melayu. Saya tak kata lah bangsa Melayu tak boleh memiliki hartanah jika harganya tinggi, ada sahaja yang mampu.

“Tetapi kita akan berusaha untuk memastikan harga itu adalah harga yang mampu milik seboleh yang mungkin,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Menara Sri Wilayah di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, pihaknya ketika ini sedang giat berunding dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Teraju untuk mencari mekanisme harga mampu milik bagi memudahkan pemilikan di kalangan orang Melayu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI