PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Putrajaya membuat satu laporan polis hari ini berhubung kenyataan berunsur hasutan dan provokasi di media sosial berkaitan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan PKR cabang Putrajaya, Mohd. Hafiz Osman berkata, laporan itu difailkan terhadap pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Rafidah Ibrahim yang didakwa memuat naik kandungan berpotensi mencetuskan ketegangan awam.
Katanya, kenyataan dimuat naik individu terbabit mengandungi tuduhan liar, seruan untuk bertindak melawan undang-undang serta cubaan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Individu itu telah memuat naik kandungan berbentuk provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam serta memecah-belahkan masyarakat khususnya penduduk Kampung Sungai Baru dan pihak yang terlibat dalam isu ini.
“Kenyataan yang disebarkan oleh individu itu jelas mengandungi unsur-unsur hasutan terhadap penduduk dan orang awam untuk bertindak melawan undang-undang serta seruan untuk bertindak ganas terhadap sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya hari ini.
Mohd. Osman berkata, tindakan itu dipercayai melanggar peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami menyeru pihak berkuasa khususnya PDRM dan MCMC menjalankan siasatan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE