KUALA LUMPUR – Suasana di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini pagi ini tenang apabila sebahagian penduduk mengemas serta mengangkat keluar barangan dari kediaman masing-masing susulan pelaksanaan writ milikan kosong melibatkan 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres, semalam.
Setakat pukul 10 pagi ini, tinjauan Kosmo! mendapati ada barangan ditinggalkan di kawasan operasi manakala sebahagian rumah penduduk sudah mula dirobohkan.
Semalam, Kosmo! melaporkan Polis Diraja Malaysia bersama beberapa agensi penguat kuasa lain melaksanakan operasi berkenaan selepas melalui proses perolehan ditetapkan dengan perintah pengosongan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat selepas semua prosedur dipatuhi dan perintah mahkamah diperoleh.
Kosmo! semalam melaporkan, operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru di sini semalam kecoh, apabila berlaku provokasi yang mengganggu kelancaran operasi itu sehingga Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera di kepala.
Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilihat berdarah pada bahagian muka dipercayai akibat dibaling objek ketika mengawal keadaan di lokasi operasi.
Operasi itu kali kedua dijalankan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu bagi mengeluarkan 14 buah keluarga gagal.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – KOSMO! ONLINE