SUBANG JAYA – Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Honda BR-V di Jalan Puchong Utama, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang lelaki bergerak lurus dari arah Puchong Utama menghala ke Puchong Permai sebelum kereta tersebut secara tiba-tiba membelok ke kanan dari bahu kiri jalan.
“Tindakan itu menyebabkan motosikal tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Muhammad Hamdan Jeramatin di talian 019-464 2222.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 54 saat di laman sosial Facebook memaparkan sebuah motosikal mengejar kereta jenis Honda BR-V yang enggan berhenti selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Puchong Utama, Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE