SEGAMAT – Seramai 62 ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar terkesan akibat gempa bumi lemah di sekitar Segamat baru-baru ini menarik nafas lega apabila menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM3,000.
Salah seorang mangsa, Amirul Asyraf Abd. Aziz, 25, berkata, bantuan yang diberikan ini membuktikan Kerajaan Johor mendengar denyut nadi rakyat termasuk mangsa gempa lemah sepertinya.
“Alhamdulillah syukur, saya dan isteri, sangat terharu apabila bantuan disalurkan kepada mangsa gempa lemah yang masih trauma dengan tragedi yang berlaku.
“Biarpun kerosakan rumah penduduk yang ditimpa musibah gempa lemah di sini tidak seteruk yang berlaku di negara lain, namun kami sangat-sangat menghargai sumbangan dari Kerajaan Johor ini,”katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah Segamat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Nurul Syazwani Ismail, 27, berkata, bantuan kewangan ini amat diperlukan bagi menampung kos pembaikan rumah yang sedikit retak akibat gempa bumi lemah yang berlaku baru-baru ini.
Kedua-dua pasangan ini ditemui ketika program Pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 62 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pejabat Daerah Segamat, di sini, hari ini.
Pembayaran wang berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar yang juga ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.- KOSMO! ONLINE