PETALING JAYA – Gas Malaysia Berhad, ahli Kumpulan MMC, telah menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk Loji Penulen Biometana yang terletak di Trong dan Air Kuning, Perak.
Kontrak tersebut diberikan kepada syarikat yang berpangkalan di Malaysia iaitu MTC Orec Sdn. Bhd.
dan Enproserve (M) Sdn. Bhd., menekankan sokongan dalam memperkasakan industri serta keupayaan tempatan.
Dijadualkan siap dalam tempoh 13 bulan, projek itu menandakan kejayaan penting dalam usaha mengembangkan portfolio gas hijau Gas Malaysia dan memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui negara anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd.
Loji Penulen Biometana itu direka untuk memproses biogas mentah dengan membuang kekotoran
dan membersihkannya menjadi biometana yang lebih bersih dan berkualiti tinggi bagi memenuhi piawaian gas asli, menyediakan alternatif rendah karbon kepada bahan api fosil.
Selepas penulenan, biometana tersebut diangkut melalui sistem saluran paip atau tiub gelincir, sebelum disuntik ke dalam Sistem Pengagihan Gas Asli sedia ada untuk membekalkan gas hijau yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat tempatan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, komitmen pihaknya terhadap kemampanan dipadankan dengan usaha untuk menyampaikan pertumbuhan jangka panjang kepada negara.
“Dengan memberikan kontrak tempatan, kami bukan sahaja memajukan projek tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga mewujudkan nilai ekonomi dan sosial yang ketara daripada peluang pekerjaan tempatan hinggalah kepada penggunaan tenaga mampan dan pemerkasaan komuniti,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE