PETALING JAYA – Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahril kembali menjadi suami isteri.
Ia berikutan apabila pasangan terbabit mengambil keputusan dengan bersepakat untuk kembali berdamai dan menjalani hidup bersama.
Perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, 27, ketika dihubungi hari ini.
“Ya kedua-duanya telah berdamai yang mana perbincangan kedua-dua pihak telah dibuat beberapa hari lepas,” kata peguam itu.
Tambah beliau, justeru dengan penyatuan semula sebagai suami isteri, Nur Syazwani dijangka akan menarik balik permohonan cerai yang dikemukakan terhadap anak guamnya pada sebutan kes di Mahkamah Syariah Klang 16 Oktober ini.
Sementara itu, berhubung pengesahan cerai dan rujuk yang berlaku pada Jun lalu, peguam itu mengatakan prosiding itu akan tetap diteruskan pada tarikh akan datang.
Sebelum ini, Nur Syazwani memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini yang mana permohonan cerai itu di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu perceraian secara baik.
Untuk info Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Sebelum ini Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu.
Pada 8 Mei lalu, peguam kepada Faisal Halim mengesahkan kes serangan asid membabitkan pemain itu diklasifikasikan sebagai NFA oleh AGC. – KOSMO! ONLINE














