LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank mendesak Liga Perdana Inggeris (EPL) supaya mengubah dua peraturan bagi memastikan setiap keputusan dibuat dalam perlawanan lebih adil.
Antara peraturan yang dirasakan perlu dibuat perubahan adalah kesalahan bola terkena tangan di mana beliau menganggap setiap keputusan dilakukan pengadil tidak konsisten dan berubah-ubah.
Frank berkata, peraturan sedia ada ketika ini lebih bersifat menghukum pemain memandangkan bola terkena tangan secara tidak sengaja juga dianggap sebagai kesalahan sehingga memberi kelebihan kepada pasukan lawan.
“Kalau boleh, saya nak ubah peraturan ‘handball’ kerana ia langsung tidak betul, lebih-lebih lagi jika berlaku dalam kawasan kotak penalti. Keadaan itu pasti akan memberi kelebihan kepada lawan.
“Jika anda menggunakan tangan seperti penjaga gol bagi menyelamatkan bola, itu saya faham tetapi sekarang ia sudah berubah. Terkena tangan secara tidak sengaja pun pengadil sudah menghukum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap Liga Perdana turut memperkenalkan peraturan ‘timeout’ bagi membolehkan setiap pengurus memanggil pemain-pemain dan melakukan perubahan taktikal ketika perlawanan berlangsung.
“Saya juga mahu ‘timeout’ dipraktikkan dalam Liga Perdana. Dari perspektif jurulatih, ia satu perkembangan yang baik kerana kami boleh bercakap dengan pemain dan mengubah taktik semasa perlawanan,” ujar Frank. – AGENSI