LIVERPOOL – Semua pemain Everton sudah pun ‘masak’ dengan kehendak pengurus pasukan, David Moyes yang mengidamkan pencapaian luar biasa pada saingan musim ini.
Pemain tengah The Toffees, James Garner turut membocorkan rahsia bahawa Moyes mahu mencapai keputusan hebat dan bukannya sekadar berperanan sebagai hero bagi mengelak daripada terjerumus ke kelompok bawahan.
“Moyes mengatakan kepada kami, suatu hari nanti kepulangan semulanya bukan untuk berjuang keluar daripada zon penyingkiran dan perkara itu diulanginya sekali lagi ketika kami jalani pramusim sebelum ini.
“Beliau meletakkan sasaran tinggi kerana beliau tahu di mana kedudukan yang dimahukannya. Kami memiliki beberapa pemain baharu dan dengan kualiti yang ada, kami semua bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh pengurus pasukan.
“Jika kami mahu mencapai sesuatu yang hebat, kami kena tetapkan satu standard tinggi dan semua itu kamu sendiri boleh lihat ada pada pasukan ini. Kami bermain untuk dapatkan kemenangan, bukannya untuk pertahankan diri,” katanya.
Malam esok, Everton akan turun buat kali kedua di Stadium Hill Dickinson untuk melayan kunjungan Aston Villa dan pastinya mahu merealisasikan kemenangan ketiga musim ini.
Magis seorang lagi bintang tengah, Jack Grealish yang menyertai pasukan daripada Manchester City secara pinjaman, bakal ditagih selepas pemain sayap itu cemerlang dalam dua perlawanan terdahulu. – AGENSI














