GEORGE TOWN – Tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Jelutong di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Abdul Hakim Mohd. Amin, 22, Muhammad Loqman Nasri, 22, Muhammad Amsyar Md. Asraf, 20, dan remaja terbabit mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dituduh secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan kepada Muhd. Syazwan Aiman Muhd. Syahrul, 21, dengan merompak sebuah telefon bimbit iPhone 13 Pro Max, wang tunai RM100 dan wang berjumlah RM482 melalui pindahan Touch n ‘Go.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam, 5 September lalu, di sebuah kondominium di Urban Suite, Jelutong.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin dan kesemua mereka tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi. Sebutan semula kes itu juga ditetapkan pada 17 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE