“BUAYA Pahang sudah berjanji tak baham manusia.”
Itu kata-kata sering didengari di negeri ini oleh apabila menceritakan mengenai Sang Bedal di sungai-sungai di Pahang.
Meskipun tidak dapat dipastikan kebenarannya, mengikut cerita turun-temurun buaya sungai-sungai di Pahang telah mengikat perjanjian berkenaan sejak 1930-an dan sehingga kini tidak didengari kejadian serangan buaya di Pahang seperti mana di Sabah dan Sarawak.
Menurut salah satu cerita, buaya di Pahang sudah tidak membaham manusia disebabkan terikat ‘perjanjian’ dengan seorang pawang terkenal iaitu Pawang Kader atau nama sebenarnya Abdul Kader Awang sekitar 1930-an.
Mengikut cerita, seekor buaya besar pernah membaham lelaki Orang Asli di daerah Pekan menyebabkan lelaki itu cedera parah selepas berjaya menyelamatkan diri.
Pawang Kader yang meninggal dunia pada lewat 1980-an dikatakan memiliki ilmu mistik termasuk pandai mengubati gangguan makhluk halus serta berkebolehan menjinakkan haiwan berbisa serta pemangsa seperti buaya.
Setelah mengetahui cerita itu daripada penduduk, Pawang Kader segera bertemu lelaki Orang Asli itu bagi mengubatinya sambil turut bertanya mengenai ciri-ciri buaya yang menyerangnya.
Pawang Kader kemudian dikatakan pergi ke tepi sungai yang menjadi lokasi lelaki itu diserang, sambil disaksikan orang kampung, Pawang Kader menyeru buaya berkenaan supaya bersemuka dengannya.
Selepas beberapa minit buaya itu timbul dan Pawang Kader dikatakan menghukum buaya itu dan mengikat satu perjanjian lisan, yang mana buaya itu serta seluruh keturunannya tidak dibenarkan membaham manusia dan manusia tidak akan membunuh buaya di negeri ini.
Kelibat buaya sering kelihatan di sungai-sungai di Pahang waktu ini khususnya di Sungai Kuantan, Sungai Belat dan juga Sungai Soi.
Kelibat buaya semakin banyak di sungai-sungai berkenaan menjadi perbualan dan satu fenomena seolah-olah reptilia pemangsa itu kini mula mendominasi kawasan itu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, pihaknya menerima peningkatan laporan penampakan buaya oleh orang awam khususnya di sekitar tebing Sungai Kuantan.
Katanya, ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti perubahan habitat, faktor makanan dan gangguan manusia yang menyebabkan spesies buaya tembaga yang mampu hidup di kawasan sungai dan muara itu keluar daripada kawasan asal.
Ujarnya, spesies itu mempunyai tabiat separa nomadik dan sering bergerak mengikut perubahan habitat serta ketersediaan sumber makanan.
Katanya, kejadian air pasang menyebabkan air laut melepasi ban sedia ada dan melimpah ke kawasan-kawasan berhampiran juga menyebabkan kewujudan buaya dapat dilihat di banyak tempat.
“Orang ramai perlu mengelak ancaman buaya dan langkah-langkah mengelak serangan buaya termasuk tidak mengadakan aktiviti berhampiran sungai yang ada populasi buaya,” katanya.
Meskipun aktiviti serangan buaya tidak sehebat di Borneo, namun kelibat buaya yang semakin banyak menimbulkan kegusaran orang ramai dan kebimbangan kejadian serangan haiwan itu terhadap manusia.